Perginya bulan Ramadan tidak bermakna berakhir sudah ibadah yang dikejarkan pada bulan mulia itu, tetapi kesinambungannya adalah berterusan pada bulan Syawal pula.
Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan. Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu.
Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata. Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Puasa enam atau puasa sunat selepas Ramadan adalah puasa yang disambut selama enam hari pada bulan Syawal. Hukumnnya adalah sunat yang dianjurkan, ianya bukanlah wajib. Namun, fadilat dan kelebihan mengerjakan puasa enam ini adalah sangat besar dan istimewa.
Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:
Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan